TAHUN 2011 akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2o12 hampir terbuka. Sesuai dengan tahun baru, tentulah ramai yang bersemangat baru. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baru dari sudut positif.
Walaupun demikian, banyak daripada peristiwa yang dialami menjelang tahun baru menunjukkan sesuatu yang negatif. Ramai yang tersenyum girang kerana bakal mendapat bantuan sekali beri RM500, tanpa menyedari wang itu akan lenyap dalam masa singkat disebabkan penanggungan rakyat yang sangat berat.
Satu perkara yang kerap dikaitkan dengan tahun baru ialah permulaan sesi persekolahan. Berhubung perkara inilah banyak ibu bapa yang 'pening-pening lalat' bagi memenuhi keperluan anak-anak.
Perbelanjaan untuk menyekolahan anak-anak pada zaman ini bukannya murah. Sekarang tidak lagi sesuai untuk berkata: "Cikgu saya serahkan anak saya ini pada cikgu, pandai-pandailah cikgu buat apa-apa yang baik ke atasnya."
Sekarang 'penyerahan' dilakukan dengan wang ringgit. Sekalipun pihak berkuasa kerap menguar-uarkan yuran persekolahan sudah dimansuhkan dan pendidikan adalah percuma hakikatnya banyak wang perlu dikeluarkan.
Bagi yang pertama kali menghantar anak ke sekolah, jangan terperanjat jika melihat pada 'book list' kanak-kanak itu dinyatakan jumlah wang bagi pembelian buku tulis, latihan dan pelbagai yuran yang boleh mencecah RM100 bagi sekolah pagi (SK) dan lagi RM100 bagi sekolah petang (agama rakyat)
Seseorang anak yang bersekolah rendah bukan saja menghadiri sesi pagi tetapi juga sesi petang (sekolah agama). Yuran untuk sekolah agama lain pula daripada sekolah pagi. Demikian juga pakaiannya, begnya dan juga bukunya.
Bagi yang mempunyai anak di sekolah berasrama lagi membebankan. Yuran makanan, asrama, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh mencecah RM1,000 seorang. Jika ada tiga anak di sekolah berasrama, laratkah kita sediakan RM3,000? Itu belum termasuk pakaian dan peralatan lain seperti beg dan kasut.
Demikianlah betapa beratnya bebanan ibu bapa hari ini. Jika untuk seorang anak di sekolah rendah, terpaksa dibelanjakan RM300 (bayaran di sekolah dan pembelian pakaian), hitunglah wang yang perlu disediakan untuk menyekolahkan lima orang anak, atau pun lapan orang anak. Jumlahnya tentulah membabitkan ribuan.
Ditambah dengan perkhabaran tambang bas sekolah yang akan dinaikkan, tentulah ibu bapa semakin pening. Dengan belanja harian (duit poket) anak-anak yang juga perlu dinaikkan sejajar dengan peningkatan usia mereka, tentulah ibu bapa semakin terpinar-pinar biji mata mereka.
Selepas termenung memikirkan belanja anak-anak, ibu bapa boleh merenung pula perbelanjaan yang membabitkan diri mereka pula. Jika yang terpaksa menggunakan lebuh raya, kadar tol lebuh raya mungkin dinaikkan. Demikian juga tambang bas. Inilah yang saban tahun berlaku apabila tahun berubah.
Bagi yang menaiki pengangkutan awam lain, dengar khabar tambangnya juga akan dinaikkan. Demikian juga dengan tambang bas dan teksi. Sekarang ini susah benar rakyat di kawasan luar bandar mendapatkan perkhidmatan bas berhenti-henti kerana banyak syarikat sudah gulung tikar kerana kos operasi yang tinggi sedangkan bantuan yang dipohon kepada kerajaan tidak diperolehi. Jadi tersadailah rakyat di stesen bas Temerloh, Seremban dan Klang serta Kuala Selangor.
Tidak cukup dengan perkhabaran itu, tarif kemudahan awam juga dikatakan akan dinaikkan. Jika 'semua' naik, tentulah sewa rumah, sewa kedai, sewa pejabat dan 'segala' macam sewa juga akan naik.
Demikianlah betapa rakyat begitu tertekan dewasa ini. Malangnya mereka tidak bersuara. Mereka adalah golongan majoriti, kata orang putih 'the silent majority'. 'The silent majority' inilah yang perlu disuntik semangat mereka untuk bangun menyuarakan ketidakpuasaan hati mereka terhadap pembahagian kekayaan negara yang tidak adil. Salah satu caranya adalah melalui pilihan raya umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Fikir-fikirkanlah siapa yang layak anda berikan undi anda yang sangat berharga